Thursday, February 12, 2015

Entry 90 : 90 > : Anak Keliru Puting? Apakah Penyelesaiannya?



Sekembalinya ibu berkerjaya ke tempat kerja selepas cuti bersalin, masalah yang paling ditakuti adalah apabila bayi mereka menolak untuk menyusu secara terus dengan ibu. Istilah paling mudah adalah bayi tersebut sudah mula keliru puting. Mengapakah hal ini terjadi?

Masalah keliru puting sering berlaku apabila ibu tidak menyusukan bayi dengan segera selepas melahirkan. Bayi kita akan lebih mudah belajar menyusu secara terus pada jam awal kelahiran dan masa yang seterusnya bayi akan lebih suka tidur. Oleh sebab itulah, ibu digalakkan untuk menyusukan bayi seawal mungkin selepas kelahiran.

Sekiranya terdapat komplikasi semasa kelahiran seperti ibu dan bayi terpaksa dipisahkan, ibu dan bapa perlu memaklumkan kepada jururawat dan doktor untuk tidak memberikan susu menggunakan botol atau puting tiruan kepada bayi anda. Terdapat banyak alternatif pemberian susu selain daripada menggunakan botol untuk mengelakkan anak keliru puting. Jika ibu tidak berupaya untuk menyusukan secara terus, perah menggunakan tangan atau pump payudara untuk berikan kolosterum awal kepada bayi. Bayi anda amat memerlukan kolosterum tersebut di hari pertama sehingga hari ketiga kelahiran bagi membina imuniti.

Antara punca sebenar bayi akan mula keliru puting adalah apabila diperkenalkan terlalu awal dengan puting tiruan tidak kiralah bayi diberikan minum susu ibu atau susu formula melalui botol susu. Masa yang baik untuk memperkenalkan bayi dengan alternatif lain selain menyusukan secara terus adalah apabila usia bayi selepas 30-45 hari atau ketika 2 minggu lagi sebelum ibu kembali bekerja.

Saya sarankan anda tidak menukar puting botol susu mengikut usia bayi anda. Hal ini kerana apabila bayi berasa senang untuk menyusu menggunakan botol maka dia akan mudah untuk beralih arah.

Apakah penyelesaian kepada bayi yang telah keliru puting?

  • Sentuhan / rawatan Kanggaru
Kaedah sentuhan kulit ke kulit (skin to skin contact) atau kaedah rawatan Kanggaru (Kanggaro Care) boleh digunakan untuk bayi yang keliru puting.
Bayi di antara usia 30-90 hari lebih mudah untuk dilatih semula menyusu dengan ibu mereka. Ibu yang bekerja boleh mengambil cuti dan melaksanakan kaedah skin to skin contact atau kaedah Kanggaro Care bersama bayi dan bapa bayi jika perlu.
Bagaimana hendak melaksanakan kaedah skin to skin contact atau kaedah Kanggaro Care ini? Ibu dan ayah boleh cuba berada di dalam bilik bersama-sama dengan bayi anda. Pastikan suhu bilik tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Tiada gangguan bunyi bising atau bunyi-bunyi yang menggangu tumpuan bayi.
Bayi hanya memakai lampin dan diletakkan terus di dada ibu. Ayah boleh membantu sekali-sekala bagi memastikan bayi kenal kembali bau ibu. Perlahan-lahan ajar bayi menyusu dengan ibu secara terus. Ajar bayi menyusu di dalam keadaan bayi itu tidak terlalu lapar dan tidak terlalu kenyang untuk mengelakkan bayi daripada mengamuk dan tidak mahu berusaha untuk menyusu secara terus.
*Kedua-dua kaedah ini sgt sesuai diaplikasikan kepada ibu yang melahirkan anak pramatang kerana ia akan merangsang otak untuk menghasilkan susu yang mencukupi dengan keperluan bayi dan merangsang badan untuk menghasilkan antibodi yang banyak. Antibodi ini akan memberi kesan kepada susu ibu dan memberi kesan kepada badan bayi bagi mengelak jangkitan.


  • Tiada istilah terlambat untuk melatih bayi menyusu semula dengan betul
Jika bayi sudah mula minum susu formula, ibu disarankan untuk mula mengurangkan pemberian susu tersebut dan menggantikan dengan susu ibu. Pastikan bayi belajar menyusu 1-2 jam sehingga bayi mahir untuk menyusu semula dengan baik. Bayi secara azalinya dilahirkan dengan naluri hisapan yang kuat tetapi pengenalan terlalu awal kepada puting tiruan akan menyebabkan dia lebih selesa menyusu melalui botol kerana lebih mudah mendapatkan susu tanpa perlu menggunakan otot mulut dengan kuat.
  • Tukar posisi penyusuan
Terdapat banyak posisi penyusuan yang boleh ibu cuba perkenalkan kepada bayi. Kadangkala, bayi akan menolak apabila posisi menyusu yang kita gunakan tidak memberikan keselesaan kepada bayi. Cubalah posisi yang berlainan, dan biar bayi yang mencari puting bukan kita yang menyuakan puting itu pada bayi.
  • Sabar
Bertabahlah wahai ibu yang sedang berusaha melatih bayi untuk kembali menyusu secara terus. Ibu kena sabar dan latih diri untuk sentiasa bertenang terhadap situasi yang mungkin bakal dihadapi seperti bayi yang menangis tak berhenti dan berterusan menolak untuk menyusu dengan ibu.
  • Teruskan usaha
Pujuklah bayi dengan bercakap-cakap dengannya dan meminta agar dia kembali menyusu secara terus di payudara ibu. Ibu tidak harus berasa putus asa dan mengalah serta menganggap percubaan untuk mengajar anak menyusu semula sudah gagal. Jika bayi masih menolak semasa percubaan kali pertama, beri bayi susu perahan menggunakan picagari/ cawan dan elakkan beri susu menggunakan botol yakni melalui puting tiruan sepanjang proses mengajar bayi menyusu secara terus ini.
  • Kekal positif
Proses memperkenalkan semula anak dengan payudara ibu tidak susah sekiranya ibu positif dan percaya pada diri. Segalanya bermula dengan langkah pertama yang proaktif. Penyusuan susu ibu adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara ibu dan anak kembali. Ikatan yang dibina bersama semasa menyusu secara terus akan lebih terasa semasa proses kaedah skin to skin contact atau kanggaro care.
Ada banyak cara untuk menunjukkan kasih dan pengabdian anda kepada anak-anak anda dan untuk memenangi kepercayaan mereka. Penyusuan susu ibu adalah yang paling semula jadi. Selamat menyusukan permata hati anda!

Noorharizah Azfar ialah kaunselor laktasi terlatih di Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBFPC) dan Pusat Laktasi Kebangsaan. Beliau berpengalaman selama lima tahun dalam dunia asuhan alami dan aktif menulis di blog www.izzahazfar.blogspot.com yang diwujudkan untuk berkongsi pengalaman sebagai ibu kepada tiga orang cahaya mata.


1 comment:

siti nor faisah abu sapian said...

Setelah bayi dpt menerima penyusuan secara terus bolehkah botol susu digunakan..atau ada alternatif lain..

Google+ Followers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Send a Dozen Roses at WiddlyTinks.com
Web Analytics