Tuesday, December 09, 2014

Entry 78 : 90 > Susu Badan Sedikit Apa Perlu Buat?



ADAKAH AKU CUKUP SUSU?

Persoalan ini sering menjadi tanda tanya kepada bakal ibu dan ibu yang baru melahirkan anak mengenai cukupkah susu yang diperlukan oleh bayi mereka.

Adakah benar persoalan tersebut dan bagaimana hendak mengatasinya? Tambahan pula apabila bayi tersebut menyusu dengan terlalu kerap selepas mereka dilahirkan. Hakikat yang sebenarnya adalah itulah realiti yang para ibu kena belajar,tahu dan faham. Bayi memiliki perut yang sangat kecil dan mereka boleh minum sedikit sahaja pada satu masa. Jadi adalah normal apabila bayi anda menyusu 8 sehingga 12 kali dalam masa 24 jam. Namun, ada juga bayi yang menyusu lebih dari angka tersebut, semua ini adalah normal dan anda sebagai ibu haruslah sentiasa bertenang. Susukan bayi anda mengikut permintaan mereka. Keadaan ini mungkin akan mengambil masa beberapa minggu diawal kelahiran untuk memastikan bekalan susu untuk bayi anda stabil dan memenuhi keperluan mereka. Apa yang ibu perlu buat hanyalah susukan bayi anda dengan kerap untuk menghasilkan susu yang mencukupi. Ada juga waktu di mana bayi akan menyusu sangat kerap dan adakalanya juga bayi anda akan kurang menyusu. Senario ini adalah normal kerana bayi anda juga ada fasa-fasa pertumbuhan yang meningkatkan keperluan semasa menyusu daripada biasa. Ibu disarankan untuk teruskan penyusuan dan menikmati saat-saat bersama bayi sepenuhnya.

TERPERANGKAP DENGAN PERKATAAN

Susu sedikit. Susu Banyak. Susu Melimpah Ruah. Semua perkataan yang ramai ibu terperangkap dan mula merasa rendah diri. Malah ada yang langsung tidak percaya dengan keupayaan diri untuk menyusukan permata hati mereka. Penulis berpendapat, elakkan daripada terjebak dengan perkataan-perkataan yang boleh menyebabkan diri seorang ibu putus asa, stress dan sedih. Sebagai seorang ibu, haruslah faham bahawa tiada istilah susu yang banyak dan susu yang melimpah ruah diperlukan sepanjang tempoh kita menyusukan bayi kita.

Susu Ibu, sewajarnya akan mencukupi sekiranya ibu faham maksud sebenar penyusuan susu ibu. Usah bandingkan antara Ibu A dan Ibu B kerana faktor bayi yang berbeza dan ibu sendiri adalah berbeza dengan ibu-ibu lain. Istilah yang seharusnya ibu-ibu pegang adalah 'Susu Ibu Pasti Cukup' untuk anak anda.


APA PENYELESAIANNYA?


  • Pertama sekali, benarkah susu kita sedikit,semakin berkurang atau tidak mencukupi? Jika bayi menyusu susu ibu sepenuhnya dan berat badan naik seperti biasa atau dalam keadaan baik, tiada apa yang perlu dirisaukan.

  • Kerapkan penyusuan. Jadikan penyusuan antara ibu dan bayi semaksima mungkin. Bayi menyusu tiada jadual, tiada tempoh masa tertentu, sebab setiap bayi itu istimewa dan berbeza. Kenali bayi anda sebaik mungkin.

  • Adalah digalakkan untuk menambah permintaan kepada susu ibu dengan memerah susu selepas menyusukan atau semasa menyusu bayi anda. Jika ibu bekerja, pastikan memerah semasa di pejabat sekurang-kurangnya 3 kali sehari bagi mewujudkan permintaan kepada susu ibu walaupun bayi tidak bersama.

  • Minum air yang secukupnya, makan makanan yang sihat dan jaga pemakanan yang mungkin sedikit sebanyak akan mengganggu penyusuan.

  • Rehatlah ketika bayi tidur. Rehat 10 minit bersama bayi yang menyusu akan buat badan ibu lebih segar bila perlu berjaga bersama ketika bayi memerlukan kita.

  • Berapa usia bayi anda? Susu yang terhasil adalah bersesuaian dengan keperluan perut bayi itu sendiri.

  • Jauhi stress, jangan fikir susu sikit tapi teruskan penyusuan seperti biasa, teruskan memerah semasa bayi tidak bersama.

  • Tidak dinafikan ada beberapa makanan penggalak susu tapi ketahuilah, dengan hanya makan sahaja tapi konsep sebenar supply dan demand tidak diamalkan, susu kita tak akan keluar macam air paip. Makanan ini hanya akan membantu sekiranya kita tetap menyusukan bayi dengan kerap dan memerah semasa bayi tiada.

  • Ketahuilah, bayi menangis bukan kerana susu tidak cukup semata-mata tetapi mungkin ada sebab lain. Sebagai contoh, bayi baru lahir mereka tidak mampu nak beritahu bahawa mereka sejuk, jadi dengan menangis adalah caranya. Peluklah bayi anda sentiasa, tenangkan terlebih dahulu jika bayi menangis dan tawarkan susu setelah bayi lebih tenang.

  • Elakkan puting tiruan atau botol susu sekurang-kurangnya 50 hari selepas bayi lahir. Bayi yang keliru puting akan buat baby bertambah susah nak menyusu dan bila ada halangan, susu juga akan berkurang jika pengosongan efektif tidak dibuat semaksima mungkin.

  • Percaya pada diri, berusaha dan berdoa pada Allah. Usaha yang berterusan akan buat kita lebih tabah dan insyaAllah akan ada hasilnya. Tidak dinafikan tugas sebagai ibu, isteri, bekerja juga akan buat badan kita menjadi sedikit letih. Rehatlah semasa bayi menyusu, posisi yang selesa juga sangat membantu.
  • Dapatkan bantuan daripada Kaunselor Laktasi, Pakar Laktasi ataupun ahli dari Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu yang berdekatan untuk membantu anda mengatasi masalah susu ibu yang anda hadapi.

Kesimpulannya, sebagai ibu baru ataupun yang bakal mendapat cahayamata, ilmu penyusuan susu ibu sangat perlu dan penyusuan susu ibu tidaklah semudah ABC dan tidaklah sesusah yang anda fikirkan.

Bila kita lalui perjalanan penyusuan susu ibu dengan tenang, gembira dan bahagia. Kita pasti akan berjaya menghadapi apa sahaja dugaan sepanjang menyusukan anak kita. Jangan mengalah dan teruskan sehingga ke penghujungnya.

Salam Penyusuan Susu Ibu,

Noorharizah Azfar
Kaunselor Laktasi

Malaysian Breastfeeding Peer Counselor.

Noorharizah Azfar ialah kaunselor laktasi terlatih di Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBFPC) dan Pusat Laktasi Kebangsaan. Beliau berpengalaman selama lima tahun dalam dunia asuhan alami dan aktif menulis di blog www.izzahazfar.blogspot.com yang diwujudkan untuk berkongsi pengalaman sebagai ibu kepada tiga orang cahaya mata.






Google+ Followers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Send a Dozen Roses at WiddlyTinks.com
Web Analytics